Chef selebriti, Anis Nabila mengakui terkilan apabila makanan tradisi orang Malaysia iaitu Nasi Kandar didakwa ‘berpasir’ oleh juara Masterchef Indonesia musim kelima, Chef Stefani Harisan.
Susulan daripada kenyataan tersebut, Chef Anis menempelak tindakan yang dibuat oleh Stefani dan menganggap perbuatan itu tidak beradab dan tidak beretika kerana mencemuh makanan tradisi negara lain.
“Sebagai seorang manusia yang ada adab, kita tidak akan mengata negatif tentang tradisi orang lain.
“Saya terkejut dengan komen dia yang agak tidak sopan itu dan saya tahu ramai rakyat Malaysia yang marah tetapi kita perlu bersabar dan jangan beri perhatian supaya tidak lebih melarat.
“Rasa ini subjektif, saya dah pernah pergi serata dunia dan rasa segala macam makanan yang pelik tetapi tidak sekalipun saya komen negatif makanan tersebut lagi-lagi makanan tradisional orang.
“Mungkin dia kurang adab. Orang Malaysia tenang sahaja, Nasi Kandar Malaysia adalah yang terbaik dalam dunia,” kongsi Chef Anis.
Terdahulu, kenyataan yang dikeluarkan oleh stefani diselar oleh warganet kerana dianggap tidak sopan. Lebih parah lagi, juara Masterchef musim kelima itu mendakwa nasi kandar yang terdapat di restorannya jauh lebih enak kerana menggunakan rempah yang lebih segar berbanding di Malaysia.