Rangkaian minuman popular, Zus Coffee memaklumkan sedang menjalankan siasatan menyeluruh ekoran kejadian salah seorang pekerjanya dikasari pelanggan dipercayai dari China, pada Ahad.
Jalankan siasatan penuh

Menurut kenyataan rasmi, Zus Coffee berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk penindasan dan sentiasa berada di pihak pekerja.

“Kami telah mengambil langkah yang sewajarnya bagi menjalankan siasatan menyeluruh dan sentiasa berada di sisi Zurista (staf di Zus) kami.
“Bekerja dalam industri perkhidmatan bukan mudah, dan perkara sebegini tidak sewajarnya berlaku. Kita hanyalah manusia mencuba yang terbaik,” demikian kenyataan Zus Coffee, Isnin.
Sementara itu, zus Coffee meminta orang ramai tidak menimbulkan spekulasi baharu dan tidak menyebarkan berita palsu.

“Kami menggesa semua pihak untuk menghormati privasi mereka yang terlibat dan mengelakkan diri daripada berkongsi atau menyiarkan semula video yang menunjukkan individu terlibat tanpa kebenaran.
“Serta mengelakkan diri daripada menyebarkan kenyataan palsu bagi memastikan proses siasatan dijalankan secara telus dan adil.
“Kami berharap semua pihak dapat memberi ruang dan masa, sementara kami meneliti perkara ini dengan penuh perhatian.
“Kami akan terus komited bagi mewujudkan persekitaran yang selamat untuk semua,” terangnya lagi.
Sebelum ini, satu klip video memaparkan seorang staf wanita Zus Coffee disimbah minuman panas oleh seorang pelanggan ketika berada di hadapan kaunter, tular di laman sosial.
Sehubungan itu, wargamaya tampil mendesak agar Zus Coffee mengambil tindakan sewajarnya dan melindungi pekerja tersebut daripasa terus ditindas.
