Umat Islam di Malaysia akan mula menjalankan ibadah puasa pada Ahad iaitu, 2 Mac 2025.
Tarikh tersebut diumumkan oleh Penyiman Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
Pengumuman tarikh penting itu dibuat oleh Syed Danial dan disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam ini.
Terdahulu, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui satu kenyataan menetapkan tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menetapkan permulaan puasa pada petang Jumaat, 28 Feb bersamaan dengan 29 Syaaban 1446 Hijrah.
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja memaklumkan Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh awal Ramadan adalah mengikut Rukyah dan Hisab.
