Menyedari kepentingan melestarikan graduan holistik, Kolej Pengajian Seni Kreatif melalui Pusat Pengajian Seni Liberal mengambil langkah proaktif menganjurkan CASAxOKU yang menjadi platform dalam menzahirkan keprihatinan terhadap golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Melibatkan pelajar tahun dua semester empat dari Pengajian Seni Liberal, Pengurusan Industri Kreatif iaitu Produksi Euphoria menganjurkan Karnival CASAxOKU sebagai pemerkasaan aktiviti komuniti bergerak dan langkah pembangunan modal insan bermula pada 16 Januari 2025 hingga 18 Januari 2025 di Tingkat Tiga, Blok Akademik, UiTM Puncak Perdana.
Menurut Pengarah Bahagian Perkhidmatan dan Pembangunan OKU, Prof. Madya Ts. Dr. Roslinda Alias, acara itu disifatkan sebagai platform yang baik dalam menyatukan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dengan masyarakat khususnya mahasiswa.
“Acara ini merangkumi kesenian yang melibatkan OKU. Ia secara tidak langsung memberi peluang kepada mahasiswa yang bukan OKU untuk memahami apa itu ketidakupayaan.
“Mahasiswa Pusat Pengajian Seni Liberal ini merupakan bakal pemimpin masa akan datang, dengan ada kecaknaan kepada isu masyarakat terpinggir seperti OKU, ini akan menjadikan mereka pemimpin yang sangat cakna dan membumi seterusnya memberi manfaat kepada Malaysia,” katanya.
Menurutnya, penganjuran acara yang berlangsung sehingga sabtu ini adalah langkah murni yang patut digiatkan secara menyeluruh di peringkat UiTM dan memuji inisiatif pelaksanaan yang diambil oleh Kolej Pengajian Seni Kreatif.
Tambahnya, UiTM mempunyai perancangan jangka panjang dalam menyediakan platform di peringkat universiti mahupun kebangsaan untuk memastikan kemenjadian mahasiswa OKU.
“Melalui usaha aktif pihak universiti, kebolehpasaran mahasiswa OKU UiTM bermula daripada 2019 hingga kini, sekitar 85% bekerja ataupun menjadi usahawan.
Manakala bagi Ketua Pengajian Seni Liberal, Dr. Ahmad Kamal Basyah Sallehudin, menerangkan bahawa acara itu memberi peluang kepada para pelajar untuk meneroka kreativiti dan melahirkan generasi yang peka.
“Di bawah projek ini pelajar mampu mempraktikkan hasil pembelajaran secara langsung dan memberi kesedaran kepada masyarakat serta menghargai bakat istimewa komuniti OKU,” jelas Dr. Ahmad Kamal.

Untuk info, Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) akan lebih giat dalam memastikan pembentukan graduan seimbang yang kompetitif di peringkat nasional dan global serta memperkasa jaringan strategik dengan industri dalam menyerlahkan kelestarian kualiti graduan KPSK, sejajar Pelan Strategik UiTM 2025 ke arah Globally Renowned University 2025.
