Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Semarak Kreatif Sdn. Bhd. (SKSB), dan Institut Seni Indonesia (ISI) Padang Panjang bagi memperkukuh kedudukan dalam industri seni kreatif serantau.
Langkah strategik pelbagai bidang

MoU ini merupakan langkah strategik kolaborasi dalam bidang akademik, penyelidikan, kebudayaan dan seni kreatif bagi menjalinkan kerjasama seperti pertukaran kepakaran, latihan industri pelajar, penganjuran simposium dan bengkel, serta penerbitan bersama dalam skop pengajaran dan penyelidikan.
Menurut Dekan FiTA, Prof. Madya Ts. Dr. Wan Aida Wan Yahaya berkata, kerjasama membuka lebih banyak ruang interaksi antara dunia akademia dan industri kreatif dalam memperkasakan warisan seni budaya Malaysia dan rantau Asia Tenggara.
“Dengan sokongan industri seperti SKSB dan rakan akademik seperti ISI Padang Panjang, kami yakin seni dan budaya dapat diperkasa melalui pendekatan profesional, inovatif dan inklusif,” katanya, baru-baru ini.
Majlis menandatangani MoU yang berlangsung di Bangunan Canseleri UiTM Shah Alam turut disaksikan oleh YBrs. Profesor TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti & Alumni) yang mewakili Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, FASc.
Dalam pada itu, UiTM menyifatkan kerjasama ini memberi manfaat menyeluruh kepada pelajar, pensyarah dan komuniti, melalui pengalaman sebenar menghubungkan dunia akademik dan industri.
Berkongsi lanjut, Prof. Dr. Jamalunlaili memaklumkan, MoU ini sejajar dengan pendekatan quadruple helix iaitu kolaborasi erat universiti, industri, kerajaan dan komuniti.
“Perkongsian pintar seperti ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara akademia dan industri, malah menjadi pemangkin kepada ekosistem seni kreatif negara yang lebih mapan.
“Ia memberi ruang kepada pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar (experiential learning) yang selaras dengan prinsip Malaysia MADANI dalam pembangunan modal insan,” jelasnya.
Difahamkan MoU ini akan berkuat kuasa selama tiga tahun dan boleh disambung dengan persetujuan kedua-dua pihak. Ia juga membuka jalan kepada perjanjian khusus yang lebih terperinci termasuk aspek hak harta intelek dan pelaksanaan projek bersama.
Artikel lain: Eksperimentasi Tema Moroccan, KPSK UiTM Suntik Konsep Rejuvenasi Dalam Jiwa.
Untuk rekod, UiTM merupakan universiti komprehensif terbesar di Malaysia menyediakan pendidikan inovatif dengan infrastruktur dan teknologi terkini merangkumi 34 kampus, 24 fakulti dan 9 pusat akademik di seluruh negara.
UiTM menawarkan lebih daripada 500 program akademik di peringkat Asasi, Pra diploma, Diploma, Sarjana Muda, Sarjana dan PhD, serta Program Profesional dalam meluaskan akses pendidikan tinggi sejajar peranannya bagi pembinaan negara dengan menyerlahkan potensi, membentuk masa hadapan.
