fbp
WeirdKaya BM

Terkandas Banjir Di HatYai, 40 Pelajar Dan Pensyarah Kurang Bekalan Makanan

Seramai 36 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) bersama empat pensyarah pengiring terkandas di Hatyai, Thailand setelah kawasan itu terlibat dengan banjir kilat sehingga menyebabkan gangguan bekalan makanan, elektrik dan air bersih.

Memetik laporan Sinar Harian, tujuan Kumpulan pelajar dari Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) ke Hatyai bagi menyertai program Thai-MYS Cultural Exchange Programme 2025 dan dijadualkan pulang ke tanah air pada Sabtu.

Namun, hujan lebat di kawasan sekitar penginapan mereka di Wangburapa Grand Hotel telah dinaiki air sehingga melebihi paras kenderaan pacuan empat roda, sekali gus menyukarkan sebarang pergerakan keluar masuk.

Menurut seorang pelajar, Mimi Nadzirah Afiqah Md Suhaimi, 21, memberitahu, bekalan elektrik terputus sejak awal pagi Sabtu diikuti gangguan bekalan air pada waktu malam, menyebabkan mereka kini hanya bergantung kepada makanan kering yang terhad.

“Makanan berat tiada, kami hanya bergantung pada roti yang sangat-sangat terhad. Talian telefon pun tidak stabil, susah nak berhubung dengan sesiapa.
“Kami sangat berharap ada bantuan yang boleh disalurkan, terutamanya bekalan makanan. Setakat ini, kami belum menerima sebarang bantuan daripada mana-mana pihak,” kata Mimi kepada pihak UUM.

Tambahnya lagi, paras air terus meningkat sehingga memasuki tingkat bawah hotel, namun semua pelajar dan pensyarah masih selamat kerana berada di tingkat lima.

“Hujan masih belum berhenti dan paras air terus meningkat. Kawasan luar hotel memang sudah dinaiki air. Kenderaan pacuan empat roda pun dah tak boleh lalu sebab air sangat tinggi,” kongsinya.

Sehubungan itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UUM, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed dalam kenyataan menjelaskan, pihak universiti akan memastikan kebajikan serta keselamatan semua pelajar dan pensyarah terbabit menjadi keutamaan.

“UUM sedang memantau keadaan dari masa ke masa dan berhubung rapat dengan Konsulat Malaysia di Hatyai bagi memastikan semua bantuan yang diperlukan dapat disalurkan segera.
“Setakat ini, semua pelajar dan pensyarah dilaporkan selamat dan penyelarasan sedang dilakukan bagi memastikan urusan program serta perjalanan pulang dapat diteruskan sebaik keadaan kembali pulih,” terangnya.

Beliau memohon agar keluarga pelajar dan staf UUM juga diminta untuk bertenang dan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan insiden berkenaan.

Difahamkan, pelajar turut menerima amaran kecemasan secara berterusan melalui telefon bimbit masing-masing, menandakan keadaan banjir masih belum menunjukkan tanda-tanda surut.

Sumber: Sinar Harian (Wan Mohd Noor Hafiz Wan Mansor)


We are hiring writers!
We are hiring writers!

Home > WeirdKaya BM > Terkandas Banjir Di HatYai, 40 Pelajar Dan Pensyarah Kurang Bekalan Makanan