Usahawan dan pempengaruh terkenal, Khairul Aming menjelaskan beberapa inisiatif khusus yang diguna pakai dalam memastikan kelancaran operasi serta keselesaan pengunjung di restoran pertamanya iaitu Rembayung.
Memetik laporan Gempak, Khairul Aming berkata dalam siaran langsung di media sosial mengenai penggunaan pengangkutan alternatif amat disarankan bagi mengelak berlakunya kesesakan lalu lintas.
“Saya nak latih anda semua satunya tolong carpooling, kedua public transport sebab restoran kita sangat dekat dengan monorail, walkable sahaja lima minit dah sampai dan ketiga, naik perkhidmatan e-hailing,” kata Khairul Aming.
Dalam pada itu, dia turut memaklumkan restorannya bakal beroperasi menerusi sistem tempahan (reservation only) sahaja tanpa membenarkan sebarang walk-in.
Berkongsi lanjut, langkah itu dipilih bagi mengelakkan situasi tidak diingini seperti pelanggan beratur selama berjam-jam sehingga menimbulkan isu keselamatan, keselesaan dan kesesakan trafik.
Bukan itu sahaja, dia juga turut menjelaskan kapasiti restoran hanya mampu menampung sekitar 200 orang sahaja dalam satu masa dan sistem tempahan diperlukan bagi mengawal jumlah pelanggan yang terlalu ramai.
“Untuk pembukaan restoran nanti kita memang akan go for reservation sahaja. Tiada walk in, KA tak akan buat walk in.
“Saya tak nak anda beratur dalam panas, hujan sebab akan ada orang yang beratur daripada malam lagi. Ini bukan kata syok sendiri ke apa tetapi ia akan berlaku sebab kita ada berjuta followers, jadi akan ada yang nak jadi yang terpantas dan terawal.
“Tapi tak boleh, saya tidak akan benarkan sebab tak bagus untuk semua orang, tak bagus untuk pelanggan, kami, jiran-jiran kita, trafik dan semua pihak. Sebab nanti anda akan beratur berjam-jam, tujuh, lapan, sepuluh jam. Ada yang kelaparan, kepanasan, ada yang tak jumpa tandas.
“Nak cari surau pun susah nanti, parking akan jadi huru hara, menyusahkan peniaga lain, jadi saya tak akan buat.
“Kita terimalah hakikat yang mana at one time, hanya dua ratus orang sahaja boleh masuk, jadi nak ke tak nak kena ada sistem yang kawal benda tu,” kongsinya.
Terdahulu, penerima anugerah Creator of the Year pada TikTok Awards Malaysia 2023 itu mengejutkan ramai apabila mengumumkan pembukaan restoran pertamanya ‘Rembayung’ yang dijangka beroperasi mulai Januari tahun depan.
Difahamkan, projek tersebut adalah pelaburan terbesar pernah dilakukannya sepanjang bergelar usahwan dengan menelan kos sebayak
Menerusi satu perkongsian di Instagram, Khairul Aming berkata, projek tersebut adalah antara pelaburan terbesar pernah dilakukannya sepanjang bergelar usahawan dan menelan kos sehingga RM4 juta.
