Bekas menteri ekonomi, Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli membuka sebuah restoran di Kuala Lumpur dengan menawarkan harga yang begitu murah.
Mahu ubah persepsi

Memetik laporan malaysiakini, Rafizi membuka restoran Kesum tersebut di kawasan parlimen Pandan dan dilancarkan melalui inisiatif Ayuh Malaysia dengan menawarkan hidangan Malaysia gaya rumah yang menyelerakan.
Dikatakan, semua hidangan di situ berharga tidak melebihi RM5.
Sebagai contoh, nasi lemak ayam goreng hanya berharga RM4.90, mi goreng RM3.90, manakala kepak ayam pedas RM4.99.
Harga itu hampir separuh daripada harga di restoran berhampiran yang biasanya bermula sekitar RM6 untuk hidangan asas, dan lebih tinggi jika ditambah ayam atau telur.

Ahli Parlimen Pandan itu menjelaskan struktur harga Kesum dilaksana bagi menghapus tanggapan umum bahawa makanan murah hanya disajikan dengan kualiti yang rendah.
“Tujuan kami ialah untuk membuktikan bahawa apabila syarikat sosial tak mengejar untung, kita boleh kurangkan kos dan tetap boleh jual pada harga ni,” kata Rafizi, semalam.
Berkongsi lanjut, beliau berkata dengan menghapuskan keuntungan peribadi dan fokus pada jualan berkuantiti tinggi, Kesum masih boleh mengekalkan margin 20 peratus. Hal itu kerana walaupun untung bagi setiap barang kecil, kos operasi adalah rendah.
“Ini membuktikan makanan sedap tak semestinya berharga RM10 kalau kita buang mark-up (harga tokokan) yang tak perlu,” jelasnya.

Bukan itu sahaja, sekiranya model kewangan Kesum kekal stabil dalam tiga bulan pertama, Rafizi berkata konsep itu akan diperluas ke seluruh negara.
Difahamkan, Kesum bukan hanya mengenai sajian mampu milik, tetapi juga usaha untuk mengubah cara masyarakat memandang soal pemilikan serta keadilan dalam industri makanan.
“Ini bukan sekadar kafe, tapi satu cabaran terhadap idea bahawa harga tinggi itu normal dan peringatan bahawa makanan yang berharga murah memang boleh wujud,” tambahnya lagi.
Sumber: malaysiakini (Ayesha Sheik Mazrul)
