WeirdKaya BM

Perniagaan Nasi Padang Milik Ajak Shiro Berjaya Diiktiraf Malaysia Book Of Records

Usahawan dan penyampai radio, Ajak Shiro, melakar kejayaan apabila perniagaan miliknya, Bumbu Babah, menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBR) atas pencapaian mencatat Jualan Tertinggi Hidangan Nasi Padang dalam Tempoh Satu Hari.

Memetik laporan Berita Harian, pengiktirafan itu diterima setelah Bumbu Babah berjaya menjual 23,674 hidangan nasi padang dalam tempoh sehari pada 1 Januari 2026, menerusi 40 cawangan di seluruh Semenanjung Malaysia.

Menurut Ajak, kejayaan itu adalah hasil sokongan luar biasa rakyat Malaysia serta komitmen pasukannya.

“Sejujurnya, dengan rendah hati saya tak pernah terfikir Bumbu Babah akan sampai ke tahap ini. Pada awalnya, saya hanya melayan idea anak saya dan tertanya-tanya juga sama ada sesuai atau tidak menjual nasi padang.
“Nasi padang bukan makanan harian kebanyakan kita. Kita biasa dengar, tetapi tidak semestinya jadi pilihan setiap hari. Jadi, saya tak sangka dalam tempoh satu hari, kami berjaya mencatat jualan 23,674 hidangan.
“Saya sangat bersyukur atas sokongan pelanggan. Pencapaian ini bukan sekadar angka, tetapi bukti kepercayaan terhadap jenama kami. Apa yang bermula sebagai percubaan kecil kini berkembang melebihi jangkaan,” kata Ajak, baru-baru ini.

Kongsinya lagi, idea penubuhan Bumbu Babah tercetus daripada cadangan anak perempuannya, Nada, yang mencadangkan keluarga mereka memulakan perniagaan makanan selepas dia menyukai ayam goreng yang dibeli Ajak daripada sebuah restoran.

Nada juga mencadangkan nama Bumbu Babah dan sehingga kini diiktiraf sebagai ‘pengasas kecil’ jenama berkenaan, dengan gambarnya dipaparkan di setiap cawangan sebagai simbol asal-usul perniagaan keluarga itu.

Difahamkan, perniagaan itu hanya bermula dengan satu cawangan yang mencatat jualan sekitar RM200,000 sebulan.

“Kami bermula dengan satu cawangan sahaja, tetapi kini dengan 40 cawangan, jualan bulanan pernah melebihi RM4 juta, malah hampir mencecah RM5 juta sebulan.
“Kami berharap momentum ini dapat diteruskan sehingga mencapai 100 cawangan,” jelasnya.

Dalam pada itu, dia mengakui perjalanan dalam berniaga berdepan pelbagai cabaran, namun menganggapnya sebagai asam garam dunia perniagaan.

“Antara cabaran yang dihadapi termasuk isu yang diviralkan di media sosial, termasuk soal sijil halal pada peringkat awal perniagaan.
“Sedangkan proses mendapatkan sijil halal sedang berjalan. Situasi ini hampir sama seperti yang pernah dilalui Khairul Aming apabila baru sehari berniaga, orang sudah mempersoalkan sijil halal.
“Ada yang terus menghukum tanpa mencari penjelasan. Dari situlah saya belajar selok-belok berniaga dan cara berdepan pelbagai persepsi,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, Bumbu Babah bermula sebagai sebuah gerai kecil di medan selera Giant Batu Caves pada penghujung 2024 sebelum berkembang pesat kepada 40 cawangan di seluruh Semenanjung Malaysia.

Jenama itu menyasarkan 60 cawangan menjelang April 2026, dengan sasaran jangka panjang 80 hingga 100 cawangan menjelang hujung tahun ini.

Dalam tempoh setahun pertama operasi, Bumbu Babah telah menghidangkan lebih daripada tiga juta hidangan nasi padang.

Sumber: Berita Harian (Fatin Farhana Ariffin)


We are hiring writers!
We are hiring writers!

Home > WeirdKaya BM > Perniagaan Nasi Padang Milik Ajak Shiro Berjaya Diiktiraf Malaysia Book Of Records