Baru-baru ini tular di media sosial, seorang peniaga dikenali sebagai Raa Edora meluahkan rasa kesal dengan tindakan seorang pelanggan yang cuba meminta tajaan tanpa memikirkan nasib orang lain.

Menerusi perkongsian di Threads, Raa menunjukkan perbualan WhatsApp mereka yang memaparkan pelanggan itu pernah membeli tiramisu yang dijualnya suatu ketika dahulu dan ia mendapat pujian daripada majikan pelanggan berkenaan.
Sehubungan itu, pelanggan tersebut kemudiannya bertanya kepada Raa meminta tajaan tiramisu untuk syarikatnya.
Lebih mengejutkan, pelanggan tersebut meminta tiramisu secara percuma dalam kuantiti yang tinggi iaitu sebanyak 180 bekas bersamaan dengan RM2,700 (RM15 sebekas).

Oleh itu, Raa menjelaskan permintaan itu boleh membawa kepada kerugian yang besar bagi peniaga kecil-kecilan sepertinya dan tergamam dengan sikap pelanggan yang selamba meminta tanpa segan silu.
“Lah macam ni pun ada ke? Nak balas apa ya? Memanglah saya jual tiramisu RM15 je tapi kalau minta macam ni bankraplah saya. Modal bahan-bahan saya guna je dah beribu ringgit, lagi nak sponsor orang ke?” tulis Raa.
Setakat artikel ini ditulis, perkongsian itu telah mendapat lebih 5,000 tanda suka dan menerima lebih 1,400 komen di Threads.
Sumber: Threads raaedoraa_77
