fbp
WeirdKaya BM

Hasrat Makan Bersama Tak Kesampaian, Sahabat Kenang Pemergian Adib Hazim – “Saya Halalkan Semua Makan Minum”

Hasrat seorang mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk makan bersama sahabat karibnya, Muhammad Adib Hazim Halim tidak kesampaian apabila menerima berita pemergian rakannya itu akibat terlibat dengan kemalangan jalan raya.

Sahabat kenang pemergian Adib Hazim

Menerusi perkongsian di TikTok @ijxmmm__, salah seorang sahabat kepada mangsa yang dikenali sebagai Zam meluahkan rasa terkilan kerana tidak sempat menunaikan permintaan arwah iaitu meluangkan masa makan bersama setelah terpaksa reda menerima berita rakan baiknya sudah tiada.

“Kita dah janji nak makan sama-sama lagi, nak main basikal, nak pergi mesin RHB tengah malam tapi semua itu sekarang tinggal kenangan.
“Kau selalu teman Zam makan, selalu ada bila Zam perlukan kawan. Kau pernah cakap kau tak ramai kawan sebab kau pendiam tapi kau tak tahu Zam rasa bertuah jadi antara yang kau pilih jadi sahabat.
“Terima kasih Haz (Adib Hazim), kerana hadir dalam hidup Zam walaupun seketika cuma, tapi dalam masa singkat itu kau tinggalkan kesan yang mendalam,” kata Haz pada Isnin.

Penuntut UPSI itu turut menzahirkan rasa sebak, mengakui berasa begitu kehilangan kerana tiada lagi tempat untuk bercerita dan terpaksa menerima segala ketentuan suratan takdir.

“Zam halalkan semua makan minum, gurau senda dan gelak tawa kita.
“Zam reda tapi kehilanganmu macam kehilangan sebahagaian dari diri Zam, tiada lagi bahu sebagai tempat bercerita dan tiada lagi tawa yang sama,” ujarnya.

Sahabat kepada Adib Azim itu turut mendoakan agar sahabatnya ditempatkan di kalangan orang beriman dan berharap agar dipertemukan semula di negeri abadi.

“Setiap kali Zam senyum, hati ini menangis sebab senyuman itu tiada lagi Haz.
“Tenanglah di sana wahai sahabat, Zam sayang Haz dunia akhirat. Sampai jumpa lagi di alam yang kekal, al-Fatihah buat Muhammad Adib Hazim Bin Halim,” luahnya lagi.

Untuk rekod, Allahyarham Adib Hazim merupakan salah seorang daripada 15 mangsa maut dalam kemalangan melibatkan sebuah bas membawa 42 penuntut UPSI dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding di Gerik, pada awal pagi Isnin.


We are hiring writers!
We are hiring writers!

Home > WeirdKaya BM > Hasrat Makan Bersama Tak Kesampaian, Sahabat Kenang Pemergian Adib Hazim – “Saya Halalkan Semua Makan Minum”