Penyanyi, Sabronzo, menerangkan pemilihan Bali, Indonesia, sebagai lokasi pilihan perkahwinan bersama suami tercinta, Ryan Fieret, kerana pasangan itu mengemari suasana di destinasi perlancongan berkenaan.

Memetik laporan Berita Harian, pemilik nama Wan Sabrina Wan Rusli, 30, berkata suasana Bali yang tenang dan keindahan panorama cukup indah menjadikan ia sesuai untuk meraikan hari bahagia mereka.
“Kami memang sukakan Bali dan sering ke sana. Lokasinya unik kerana berada di tepi tebing laut, sekali gus memberi suasana romantik dan menenangkan.
“Keluarga suami saya juga tidak pernah ke negara Asia, jadi kami rasa Bali adalah lokasi terbaik untuk mengadakan majlis perkahwinan. Kami mahu memberikan pengalaman terbaik buat semua tetamu dan menjadikan majlis ini dikenang selamanya,” kata Sabronzo, baru-baru ini.

Sabronzo yang juga merupakan ahli kumpulan Dolla turut berkongsi beberapa momen menarik apabila hidup berumah tagga dan tidak menafikan mereka berdua saling bertukar budaya dan cita rasa makanan bersama-sama.
“Saya rasa Ryan kini lebih suka makanan Malaysia. Dia sangat menggemari nasi lemak, jadi saya kerap masakkan untuknya.
“Sebaliknya, saya pula mula mencuba makanan Belanda dan menyukainya kerana hidangan mereka lebih sihat,” jelasnya sambil tersenyum.
Terdahulu, Sabronzo mengesahkan sudah bergelar isteri kepada Ryan pada September lalu, sebelum pasangan itu diraikan dalam majlis resepsi meriah di Bali pada 25 September, kira-kira dua minggu selepas disatukan.
Pasangan itu dilaporkan mula rapat selepas bekerjasama dalam sebuah acara hiburan awal tahun ini.
Difahamkan, Ryan merupakan DJ kelahiran Belanda dan anggota kumpulan antarabangsa terkenal, Dash Berlin.
Sumber: Berita Harian (A’qilah Riduan)
