Graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya menamatkan pengajian tanpa membuat sebarang pinjaman PTPTN dan hanya berniaga kecil-kecilan demi menanggung kos pengajian.
Menurut Siti Hanisah Rizal, 24, berkata setiap balang chocojar yang dijual bukan sekadar sumber rezeki tetapi simbol ketabahan seorang anak yatim yang membina harapan.
“Saya mula berniaga sejak semester empat. Dahulu hanya jual mi segera dan ramen. Tapi saya ingin mencuba sesuatu yang lebih baik, lalu lahirlah chocojar ini. Dari dapur asrama yang kecil, saya belajar tentang rezeki, kesabaran dan usaha,” ujarnya.
Anak kepada pasangan Allahyarham Rizal Mulot dan Allahyarhamah Maimon Adam itu menjadi tulang belakang kepada tiga adik yang masih meniti usia muda iaitu Nur Najiah Raihana (21 tahun), Muhammad Adam Muqriz (19 tahun) dan Siti Rawdah Hanim (17 tahun) yang kini dijaga oleh saudara mereka selepas kedua-dua ibu bapa pergi dijemput Ilahi pada tahun 2018 dan 2020 akibat kanser.
Bagi gadis berjiwa besar itu, dia memahami risiko kehidupan bukan sekadar teori di dalam bilik kuliah tetapi pengalaman sebenar yang telah mengajarnya tentang makna reda dan tawakal.
“Saya belajar bahawa hidup ini sendiri adalah pengurusan risiko. Kita merancang, tetapi Allah jua yang menentukan segalanya,” jelasnya.
Difahamkan, setelah menggenggam segulung ijazah, Hanisah kini menjadi ejen insuran takaful sepenuh masa di Prudential BSN Southkey, Johor Bahru dan bercita-cita untuk membantu orang ramai memahami nilai perlindungan dan perancangan masa depan.
Hanisah menjadi bukti bahawa kehilangan bukan titik noktah dalam satu perjalanan melainkan permulaan kepada kekuatan baharu.
Berkat doa dan keazaman, Hanisah membuktikan bahawa tiada jalan yang terlalu sukar bagi mereka yang berpegang kepada harapan dan pertolongan Allah.
Sumber: Facebook Universiti Utara Malaysia
