WeirdKaya BM

Chef Wan Mahu ‘Peturun’ Ilmu Masakan Tradisional, Bimbing Generasi Muda Dalam Kulinari

Chef selebriti, Redzuawan Ismail atau mesra disapa Chef Wan, menyarankan Kerajaan Malaysia untuk menubuhkan satu badan khas.

Memetik laporan Vocket, badan ini bertujuan mengumpulkan semua pakar masakan Melayu tradisional dan pakar masakan jalanan (street food) dari seluruh negara.

Inisiatif ini diambil untuk melatih dan membimbing generasi muda dalam bidang kulinari. Beliau berharap dengan cara ini, resipi masakan tradisional dapat diwarisi tidak akan hilang ditelan zaman.

Bercerita lanjut, Chef Wan mendapati kualiti makanan tradisional yang dijual semakin tidak memuaskan tekstur rasanya.

“Memasak bukan sekadar masak sahaja, ia perlu disertai sajian berkualiti dan sedap, khususnya untuk masyarakat dan pelancong,” kata Chef Wan, baru-baru ini.

Sehubungan itu, usaha tersebut amatlah penting dalam memperkukuhkan sektor pelancongan Malaysia.

“Kalau kita mahu tingkatkan pelancongan, kita perlu ada sesuatu yang boleh dibanggakan. Bukan sekadar hotel dan servis, tetapi makanan jalanan juga mesti ditingkatkan.
“Kerajaan perlu main peranan. Malaysia ada ramai chef berbakat, tetapi mereka tidak kekal selamanya. Bila kami tiada, resipi ini akan hilang. Sebab itu saya buka restoran ini, supaya resipi daripada tok nenek kita dapat diwarisi,” ujarnya.

Chef Wan berharap agar Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan pihak-pihak lain yang berkenaan dapat bekerjasama mengumpulkan semua tukang masak berpengalaman dan merekodkan (mendokumentasikan) resipi masakan warisan Malaysia supaya tidak hilang ditelan zaman.

“Saya belum nampak pihak yang datang dan kata, ‘kami berminat, mari duduk berbincang, bawa semua chef berbakat, kumpulkan resipi dan wujudkan sekolah untuk melatih mereka.
“Ramai makcik buat kuih tidak turunkan resipi. Anak-anak sudah tidak minat. Bila mereka tiada, resipi pun hilang. Ini yang saya risau,” tambahnya lagi.

Sumber: Vocket (Hizam Jaafar)


We are hiring writers!
We are hiring writers!

Home > WeirdKaya BM > Chef Wan Mahu ‘Peturun’ Ilmu Masakan Tradisional, Bimbing Generasi Muda Dalam Kulinari